Rosman Shamsudin


BUNTU isterinya hilang di India dan masih belum ditemui, tukang paip bersama dua anaknya mengambil inisiatif memuat naik klip video di media sosial memohon bantuan orang ramai mencari insan tersayang itu.

Klip video berdurasi seminit itu dihasilkan khusus bagi memohon bantuan pelbagai pihak bagi mengesan Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, yang dilaporkan hilang di India sejak 29 Jun lalu.

Mahmud Rahman Shariff, 47, berkata, dia bersama dua anaknya, Mohd Aiman Syukur, 9, dan Mahnas Hibatullah Syazana, 4, membuat rakaman video itu kerana Habibuneesa masih belum ditemui.

Dia yang menetap di Behrang berkata, walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan, termasuk membuat laporan polis, menghubungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India serta pihak berkuasa di negara itu.

Katanya, mereka sekeluarga tidak ambil peduli tanggapan negatif pengguna laman sosial terhadap klip video itu kerana ia antara usaha mereka merungkai kehilangan Habibuneesa.

“Saya bimbang perkara buruk terjadi kepada isteri seperti yang sering dipaparkan dalam filem Tamil dan Hindi.

“Ini kerana kebarangkalian kes sebegini berakhir dengan tragedi, ia sesuatu yang sungguh menakutkan kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mahmud Rahman berkata, sambutan Aidiladha tahun ini juga disambut dalam suasana sunyi dan sedih kerana selama ini isterinya yang menyiapkan persiapan pakaian dan makanan untuk mereka sekeluarga.

Menurutnya, baru-baru ini dia dihubungi pegawai dari pejabat konsulat Malaysia di Chennai, India, memaklumkan pihak polis sudah mengenal pasti suspek yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan isterinya.

Katanya, suspek dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang, premis perniagaan dan kawasan pekan yang mendapati suspek mengekori ke mana sahaja pergerakan Habibuneesa sejak tiba di India pada 24 Jun lalu.

Habibuneesa bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kakaknya, Nur Jihan, 38, dan anak kakaknya, Yunus Shukri berusia empat tahun ke Tamil Nadu pada 24 Jun lalu untuk melawat saudara maranya di Pandaravadai, Papanasam, Tamil Nadu.

Lima hari kemudian, Nur Jihan memaklumkan kepada Mahmud Rahman bahawa isterinya hilang dari rumah selepas pulang melawat rumah saudara-mara mereka di sana.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga difahamkan sudah menghubungi Polis India menerusi Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk menyegerakan tindakan mencari dan menyelamat Habibuneesa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 3:12 PM
Mahmud Rahman (tengah) bersama anaknya, Mohd Aiman dan Mahnas Hibatullah Syazana. FOTO Rosman Shamsudin