SEBAHAGIAN jemaah tiba di maktab selepas selesai ibadah masyair. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek


SEMUA jemaah haji Malaysia selamat tiba di maktab penginapan masing-masing selepas selesai menunaikan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah sepanjang hari Tasyriq yang juga salah satu wajib haji.

Sebaik tiba di maktab, mereka perlu menyempurnakan tawaf dan saei haji iaitu rukun haji bagi yang melakukan Tahallul Thani bagi melepaskan mereka dari tiga daripada 13 larangan dalam berihram.

Sebelum itu mereka sudah mendapat Tahallul Awal, yang membebaskan mereka daripada 10 larangan ihram.

Hampir 50 peratus jemaah memilih naffar awal dan separuh lagi memilih naffar thani.

Naffar awal bermakna jemaah hanya melontar jamrah pada dua daripada tiga hari Tasyriq dan bergerak ke Masjidilharam untuk tawaf dan saie.

Naffar thani pula jemaah melontar di jamrah di ketiga-tiga hari Tasyriq sebelum tawaf dan saei serta tahallul.

Dengan kepulangan semua jemaah itu ke maktab masing-masing menandakan berakhirnya operasi masyair.

Bagi jemaah, mereka bersyukur dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sempurna.

Nafisah Ismail, 65, berkata dia amat bersyukur kerana dapat melakukan ibadah masyair walaupun pada hari kedua berlaku hujan dan khemah bocor.

"Ini semua dugaan dan ujian tetapi saya bersyukur urusan berada di Arafah, Mudzlifah, Mina serta melontar di jamrah berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, dia akan berehat seketika sebelum ke Masjidilharam untuk menyempurnakan tawaf dan saie.

"Memang ramai orang tawaf tapi saya minta Allah permudahkan," katanya.

Jemaah lain, Abdul Kadir Hamzah, 57, berkata, walaupun terpaksa berjalan sejauh tujuh kilometer dari khemah di Mina ke jamrah tetapi ia menyeronokkan kerana beramai-ramai.

Katanya, walaupun ada jemaah yang mengalami masalah sakit lutut, mereka dapat menjalani ibadah itu dengan bantuan rakan dan petugas Tabung Haji (TH).

"Saya ada banyak hari lagi di Tanah Suci dan akan memanfaatkan untuk terus melakukan ibadah di Masjidilharam," katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 3:33 PM