Gambar hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak merampas beberapa jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai hampir RM200,000 dalam satu operasi yang dijalankan serentak di tiga premis di Ipoh, Seri Manjung dan Lumut pada 1 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, maklumat awal berkaitan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi itu dikesan melalui pemantauan di media sosial yang dijalankan pihak CPF Negeri.

“Risikan terhadap maklumat awal itu menunjukkan suspek memiliki tiga premis yang menjalankan aktiviti jualan itu dan didapati ia adalah antara rangkaian pengedar terbesar bagi produk berkenaan di Perak.

“Hasil operasi itu ditemui lebih 8,000 unit produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

“Produk yang dirampas merangkumi pelbagai jenis produk tidak berdaftar dan makanan disyaki dicemari perangsang seks seperti Candy B+ Complex, Soloco, Hickel dan Vimax, ubat kurus tidak berdaftar seperti Surut Ayu dan Li Da serta produk kesihatan dicemari steroid seperti Al-Barakah Ayam Selasih dan Bella Formula Sinus Care,” katanya dalam kenyataan media di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, individu atau syarikat yang didapati terbabit menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengingatkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya serta-merta memandangkan ia tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik melalui media sosial.

“Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman web https://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

“Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebarang aduan boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my.

Orang ramai juga boleh ke mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan atau melalui talian 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:45 PM