NORAZLIN dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 kerana mencuri 40 helai kain batik. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


IBU kepada empat anak dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencuri 40 helai kain batik bernilai RM796 milik sebuah pasar raya di Kuala Nerus.

Selain itu, tertuduh, Norazlin Jamaludin, 30, dari Melaka turut berdepan hukuman penjara satu bulan lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri 40 helai kain batik bernilai RM796 milik Pasaraya Mydin Gong Badak, Kuala Nerus, pada 5.30 petang, 10 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, juruwang pasar raya berkenaan ternampak seorang wanita berjubah (tertuduh) keluar melalui pintu dalam keadaan mencurigakan.

Ketika kejadian, tertuduh dilihat seperti memegang sesuatu di dalam tudungnya menyebabkan dia memanggil tertuduh tetapi tidak diendahkan tertuduh yang segera masuk ke dalam tandas wanita.

Tertuduh ditahan ketika keluar dari tandas sebelum pemeriksaan di dalam tandas menjumpai 40 helai kain batik dibalut dengan tudung dan diletakkan di dalam beg kertas yang disembunyikan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:23 PM