MAYAT wanita ditemui terapung kira-kira 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman, hari ini.

Mayat mangsa yang lengkap dengan jaket keselamatan itu ditemui oleh nelayan, Ahmad Fasri Ariffin, 44, kira-kira 11 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, polis menerima panggilan berhubung penemuan itu kira-kira 12 tengah hari sebelum pihaknya dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman bergegas ke lokasi kejadian pada 2 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa tiba di jeti APMM Kemaman pada 4.40 petang sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

“Setakat ini, kita tidak dapat mengesahkan mayat itu antara dua pelancong Singapura yang dilaporkan hilang kira-kira lima batu nautika timur Pulau Aceh, Endau, Mersing pada 8 Ogos lalu.

“Bedah siasat akan dilakukan pakar perubatan pagi esok dan kita juga sudah memaklumkan penemuan mayat ini kepada semua kontinjen,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fasri berkata, dia bersama juragan yang dikenali sebagai Ramli, 60, dalam perjalanan masuk ke Kuala Kemaman.

Katanya, mayat wanita itu terapung dengan hanya tinggal gigi selain perut sudah kembung dan berbau.

“Saya mengikat mayat wanita itu dengan tali jaket keselamatan yang dipakainya dengan tali sebuah bubu dengan kuat supaya mayat itu tidak terpisah atau hanyut.

“Kami memecut bot gentian kaca yang dinaiki untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis dan keluar semula ke laut bersama anggota polis dan APMM untuk mengambil semula mayat itu,” katanya.

Sebelum ini, dua pelancong Singapura hilang ketika berkayak dengan sekumpulan 15 rakan di perairan Mersing pada 8 Ogos lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, makluman awal kehilangan membabitkan lelaki dan wanita dikenali Tan Eng Soon, 62, serta Puah Geok Tin, 57.

Berita berkaitan:

  • Jumpa kayak pelancong Singapura
  • Pelancong berkayak hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:54 PM
    GAMBAR hiasan