ANGGOTA Forensik IPK Terengganu melakukan siasatan di rumah Ketua Polis Daerah Besut yang ditetak di Kampung Padang Luas. FOTO ZAID SALIM
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KETUA Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi putus ibu jari kanan dan cedera di kepala selepas ditetak parang panjang oleh seorang lelaki berusia 32 tahun di Kampung Padang Luas, Jertih, Terengganu, hari ini.

Kejadian jam 12.50 tengah hari menyebabkan mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi menyambung kembali ibu jarinya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, sebelum kejadian mangsa berusia 55 tahun baharu tiba ke rumahnya untuk menukar pakaian sebelum didatangi suspek yang menetap kira-kira 50 meter dari rumahnya dengan menaiki pacuan empat roda Perodua Kembara.

Katanya, suspek mengadu tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa menanam pokok didakwa dalam kawasannya, namun mangsa tidak melayannya.

“Mangsa menyuruh suspek pulang tetapi sebaliknya lelaki itu mengambil parang panjang sebelum mengejar mangsa.

“Mangsa yang melarikan diri ditetak di kepala hingga terjatuh sebelum bergelut dengan suspek.

“Suspek kemudian melibas parang lalu terkena jari kanan mangsa menyebabkannya putus.

“Suspek melarikan diri dan hasil siasatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, akhirnya suspek berjaya ditahan di FELDA Selasih jam 4.15 petang tadi,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat mangsa yang sedang menjalani rawatan di HUSM.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, isteri mangsa yang melihat kejadian itu terus membantu mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk di HUSM.

“Suspek ada masalah mental dan pernah mengadu kepada mangsa bahawa rumahnya pernah diserbu polis, namun maklumat itu tidak benar.

“Suspek mungkin tidak berpuas hati dengan layanan mangsa sebelum melibas menggunakan parang panjang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 7:09 PM