Gambar Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


NIAT seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mencuba baju di Pasar Seni, Kuala Lumpur, bertukar episod malang apabila menjadi mangsa gangguan seksual lelaki warga Bangladesh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.55 malam, mangsa bersama ahli keluarganya ke kawasan itu untuk berjalan-jalan dan beli belah sementara ibunya sedang solat manakala bapanya menjaga adik.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, mangsa kemudian ditegur suspek yang meminta dia mencuba baju kemeja dijualnya.

Bagaimanapun, katanya, ketika mencuba baju itu, suspek tiba-tiba memegang kemaluan mangsa dan cuba melakukan perbuatan tidak senonoh.

“Mangsa yang terkejut kemudian melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya.

“Ahli keluarganya kemudian menghubungi polis yang tiba tidak lama kemudian dan menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta 792.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 8:01 PM