GURU agama wanita Orang Asli menggayakan tudung jalur gemilang bagi menanamkan semangat patriotik menjelang sambutan 31 Ogos.
Ramli Ibrahim


GUA MUSANG: Semangat patriotik dipamerkan oleh wanita Orang Asli di Kampung Kuala Betis di sini, apabila memakai tudung jalur gemilang sempena meraikan bulan sambutan Hari Kebangsaan, tahun ini.

Mereka terdiri daripada 15 guru agama lantikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan memakai tudung jalur gemilang hampir setiap hari ketika mengajar kaum mereka.

Seorang guru agama, Raihan Hashim, 32, berkata, tahun lalu dia memakai baju kurung jalur gemilang, namun tahun ini dia lebih selesa memperaga tudung jalur gemilang.

Katanya, mereka menempah tudung jalur gemilang itu yang berharga RM18 setiap satu sebagai membakar semangat sempena Hari Kebangsaan negara.

“Kami memakai tudung jalur gemilang setiap hari bermula semalam (kelmarin) sehingga 31 Ogos ini bagi melambangkan kemegahan rakyat negara ini.

“Inisiatif ini diambil untuk menunjukkan kepada rakyat berbilang kaum bahawa masyarakat Orang Asli juga tidak pernah lupa peristiwa yang membawa kepada kemerdekaan negara.

“Sebagai rakyat, kita perlu menanam semangat untuk sama-sama menghayati pengorbanan pejuang pemimpin terdahulu sebelum mencapai kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:50 AM