Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng. Foto Arkib NSTP
Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng. Foto Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENDUDUK sekitar Kuantan terpaksa terdedah kepada risiko sisa Water Leached Purification (WLP) di Gebeng sehingga fasiliti cracking and leaching (pemecahan dan larut-resap) Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Australia siap kira-kira empat tahun lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, selain itu rakyat juga perlu menerima hakikat sisa radioaktif WLP yang bakal mencecah satu juta tan akan dilupuskan di negeri itu.

Menurutnya, keputusan dicapai kerajaan itu adalah pilihan yang ada pada masa kini untuk menguruskan sisa radioaktif dari Lynas.

“Saya kesal kerana kesilapan kerajaan terdahulu yang tertipu dengan Lynas dan percaya industri nadir bumi membawa keuntungan kepada negara tanpa fahami ada sisa radioaktif yang akan dijana kilang berkenaan.

“Lynas tidak seharusnya dibenarkan beroperasi pada 2012 tanpa pelan pengurusan sisa radioaktif WLP yang kekal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, beliau akan terus bersolidariti bersama warga Kuantan menanggung risiko kesihatan dan pencemaran kepada alam sekitar akibat keadaan itu.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dalam kenyataan media semalam memaklumkan lesen Lynas diperbaharui untuk tempoh enam bulan lagi bermula September ini.

Selain itu, LPTA juga mengenakan tiga syarat kepada Lynas supaya membina kemudahan pemecahan dan larut-resap di luar negara.

Syarikat itu juga tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi satu becquerel per gram di lojinya.

Kerajaan juga mahu syarikat berkenaan mengenal pasti tapak spesifik bagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) yang perlu mendapat kebenaran secara bertulis daripada kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 9:23 AM