Antara durian yang dirampas MAQIS kerana dibawa masuk dari Thailand di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Selasa lalu. Foto Ihsan MAQIS
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas barangan hasil keluaran pertanian yang dibawa masuk oleh penumpang melalui laluan kereta di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam secara tidak sah pada Selasa lalu.

MAQIS dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pegawainya terhadap sebuah Perodua Myvi didapati penumpangnya cuba menyeludup masuk sebanyak 20 biji durian dari Thailand.

Berikutan itu, menurutnya, kesemua durian berkenaan dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Penahanan hasil keluaran pertanian ini adalah bertujuan untuk mengawal kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara jika tidak dikawal sebaiknya.

“Perbuatan mengimport hasil keluaran pertanian tanpa permit import (IP) yang sah adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, MAQIS sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komodoti haiwan, pertanian, ikan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan rakyat negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 11:26 AM