FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti Sofia Md Nasir


DUA pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini, atas dua tuduhan menggunakan kekerasan dan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan polis, Selasa lalu.

Tertuduh, Yahaya Awang, 49, dan Muhamad Shazwan Ishak, 31, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam iaitu pasukan polis semasa mereka menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa sengaja menghalang penjawat awam dengan enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan sehingga ditangkap pihak polis.

Bagi pertuduhan kedua itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Semua kesalahan itu dilakukan di Jalan Pasar, Bukit Mertajam, kira-kira jam 4.30 petang pada Selasa lalu.

Sri Pracha kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,800 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain menetapkan 4 September depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 11:42 AM