TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO NSTP
TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO NSTP
Muhammad Apendy Issahak


PENGARAH syarikat pemaju perumahan didakwa buat kali ketiga dalam tempoh empat bulan dengan pertuduhan terbaru di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, membabitkan kesalahan tidak mengembalikan wang lebihan pembelian sebuah rumah kedai sebanyak RM150,000.

Tertuduh, Chang Kok Kheong, 60, yang juga Pengarah Syarikat Energizer Properties Sdn Bhd didakwa pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya tidak mengembalikan wang lebihan dalam urusan pembelian sebuah rumah kedai tiga tingkat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabatnya, Jalan Sultan Abdul Jalil, di Ipoh, antara 24 Julai 2014 hingga 11 Disember 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK).

Chang yang diwakili peguam Jagdave Singh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin yang kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 jika mahkamah membenarkan tertuduh dijamin.

Tertuduh merayu agar dibenarkan jamin dengan jumlah yang ringan kerana sudah membayar jaminan sebanyak RM35,000 keseluruhannya bagi beberapa pertuduhan dihadapi sebelum ini selain perlu menanggung anak dan isteri serta ibunya yang uzur.

Julie Lack kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September ini bagi sebutan semula kes berkenaan.

Pada 4 April lalu, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menyalahguna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai oleh dua pembeli membabitkan kerugian RM100,000 lima tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 409 KK serta dikenakan jaminan RM15,000.

Dia didakwa sekali lagi pada 5 Julai lalu di Mahkamah Majistret Ipoh dengan tiga pertuduhan menipu membabitkan pembayaran deposit pembinaan kondominium pelajar yang tidak wujud mengakibatkan kerugian RM300,000 pada 2012.

Pengarah itu didakwa mengikut Seksyen 420 KK dan dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi tiga pertuduhan dengan seorang penjamin yang juga ahli keluarga terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 12:51 PM