Mazlan berbual dengan Azini selepas melawat Mohd Zamri yang kini dirawat di ICU HUSM, Kubang Kerian hari ini. Foto Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENYAMBUNGAN ibu jari kanan Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi yang putus selepas ditetak dengan parang panjang oleh seorang lelaki semalam, mengambil masa selama 14 jam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, penyambungan jari berkenaan berjaya dilakukan oleh pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian yang bermula 5 petang semalam dan berakhir 7 pagi tadi.

Menurutnya, keadaan Mohd Zamri yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM stabil dan masih dalam perhatian doktor pakar.

“Kejadian (tetak) itu tidak membabitkan unsur keselamatan kerana ia dilakukan seorang lelaki pesakit mental.

“Ia juga tidak mempunyai unsur jenayah tetapi dilihat sebagai kes untuk mengganggu keselamatan penjawat awam,” katanya ketika ditemui di HUSM hari ini.

Terdahulu, beliau melawat Mohd Zamri di ICU dan menyampaikan sumbangan kepada isteri mangsa, Azini Mamat, 51.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Pengarah HUSM Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim.

Mazlan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak HUSM kerana doktor pakar dapat menyambung kembali ibu jari kanan Mohd Zamri.

Katanya, pihak polis akan memantau keadaan Mohd Zamri dari semasa ke semasa dengan bantuan doktor pakar.

Sementara itu, Ahmad Sukari yang mengetuai pembedahan penyambungan ibu jari tangan kanan mangsa berkata, keadaan Mohd Zamri stabil walaupun menghadapi situasi kritikal.

“Proses menyambung ibu jari berkenaan memang agak rumit dan mengambil masa yang lama, namun Alhamdulillah ia berjaya dilakukan oleh pakar perubatan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, Mohd Zamri putus ibu jari kanan dan cedera di kepala selepas ditetak dengan parang panjang oleh lelaki berusia 32 tahun di Kampung Padang Luas, Jertih.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, mangsa yang cedera dirujuk ke HUSM selepas mendapatkan rawatan di Hospital Besut bagi menyambung kembali ibu jarinya.

Berita berkaitan:

  • Lelaki tetak KPD Besut direman
  • [UPDATE] Suspek tetak KPD dah kena tahan
  • Ketua Polis Daerah Besut cedera ditetak
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 1:18 PM