ZAKIR Naik. FOTO Arkib NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS akan memanggil penceramah bebas, Dr Zakir Naik untuk memberi keterangan susulan mengeluarkan kenyataan yang didakwa boleh mengancam keamanan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, laporan sudah dibuat dan siasatan juga sedang dijalankan.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut kerana prosedur yang dijalankan adalah biasa selepas menerima laporan polis.

“Pada masa yang sama, kita minta orang ramai supaya berhenti daripada penyebaran perkara (video rakaman) yang boleh memecahkan keharmonian kaum di negara ini.

“Kita akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang cuba mengganggu ketenteraman awam,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Sebelum itu, beliau membuat lawatan terhadap Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi yang cedera ditetak dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah memberi amaran

dan polis memantau kes itu.

“Pemantauan dilakukan kerana kita tidak (mahu) ada sesiapa mengganggu gugat ketenteraman awam di negara ini,” katanya.

Terdahulu, penceramah bebas itu didakwa memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Zakir dalam satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu juga didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri India berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan itu, pihak polis menerima sebanyak 115 laporan berkaitan Zakir dan polis membuka kertas siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Slot Dr Zakir dan anaknya dibatalkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 3:03 PM