WAN Azizah pada sidang media selepas mendengar taklimat operasi SAR Nora Anne Quoirin di Seremban, hari ini. FOTO Adzlan Sidek.
Raja Noraina Raja Rahim


KELUARGA remaja Ireland, Nora Anne Quoirin sedang membuat persediaan untuk membawa mayat anak sulung mereka pulang ke United Kingdom.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga remaja itu dalam pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini.

“Kerajaan Malaysia dan Kedutaan Ireland serta Perancis akan bekerjasama untuk melaksanakan prosedur itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bercerita mengenai pertemuan itu, Nicole berkata, Wan Azizah meluahkan rasa sedih dan menitiskan air mata ketika perbincangan berlangsung.

“Kak Wan (Wan Azizah) rasa amat sedih dan terus meminta kebenaran memeluk kedua-dua adik Nora, iaitu Innes Julia dan Maurice Arthur.

“Selepas itu, kami duduk atas sofa untuk berbincang secara lanjutnya. Ibu Nora, Meabh Jaseprine Quoirin diapit oleh Kak Wan dan saya,” katanya.

Katanya, Wan Azizah turut memaklumkan kepada Meabh bahawa seramai 400 anggota pasukan keselamatan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), sebelum remaja itu ditemui tidak bernyawa.

Beliau berkata, Wan Azizah kemudian menzahirkan rasa simpati atas kehilangan itu.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 4:19 PM