ZAKIR Naik (kanan) dan Kulasegaran. FOTO Arkib NSTP
Murni Wan Omar


PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik menuntut Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menarik balik pernyataan fitnah didakwa dibuatnya melalui kenyataan media pada 13 Ogos lalu, dalam 48 jam.

Zakir yang mengemukakan surut tuntutan kepada Kulasegaran melalui peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Akberdin Abdul Kadir turut menuntut Kulasegaran supaya berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan berhubungnya.

Zakir juga menuntut Kulasegaran mengemukakan permohonan maaf dalam masa 48 jam serta tawaran penyelesaian terhadap kerosakan dan aib terhadapnya kesan daripada kenyataan fitnah itu.

Surat tuntutan itu menyatakan bahawa Kulasegaran ada mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Zakir Naik Presence In Malaysia is Embarassing to all Malaysian’ pada 13 Ogos lalu. Beliau mendakwa kenyataan itu disiarkan di dalam beberapa penerbitan media dan portal berita termasuk Malaysiakini pada tarikh yang sama dengan tajuk “Running down M’sians: Kula to bring up Zakir in cabinet”.

"Ucapan dan kenyataan berkenaan bersifat fitnah, yang jika difahami bermaksud Zakir adalah seorang yang tidak jujur dan menggunakan Islam bagi kepentingan diri sendiri," kata Tetuan Akberdin & Co.

Menurut Akberdin, kenyataan fitnah itu mendakwa anak guamnya antara lain mahu membentuk jurang antara kaum dan agama di Malaysia bagi mendapatkan sokongan komuniti Muslim di Malaysia serta membolehkan beliau tinggal di Malaysia.

“Selain itu, anak guam kami didakwa mempunyai motif meragukan untuk memecah belah populasi dan keharmonian rakyat Malaysia. Kenyataan fitnah terhadap Zakir ini berniat jahat dan bersifat kebencian.

"Kami diarahkan untuk menyatakan bahawa kenyataan fitnah itu adalah tidak berasas, direka, tidak benar dan diputar belit. Ia mencemarkan reputasi dan kreadibiliti serta memalukan anak guam kami," katanya.

Sementara itu Zakir ada membuat laporan polis di sebuah Balai Polis di Shah Alam pagi ini yang antara lain menamakan Kulasegaran; Ahli Parlimen Klang Charles Santiago; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan dua lagi yang didakwa ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Berita berkaitan

  • Polis panggil Zakir Naik
  • Slot Dr Zakir dan anaknya dibatalkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 4:38 PM