Fairul Asmaini Mohd Pilus


PELAJAR tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS), Sara Sofea Muhammad Illaham, 16, mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya menakluk puncak tertinggi benua Eropah, Gunung Elbrus, Russia, semalam.

Sara Sofea tiba di puncak Elbrus setinggi 5,642 meter pada 4.25 petang diiringi bapanya, Muhammad Illaham Ishak yang juga Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) serta seorang lagi pendaki sokongan iaitu pelajar Universiti Putra Malaysia, (UPM), Muhammad Farhan Abdul Rahman.

Mereka memulakan pendakian ke puncak Elbrus pada awal pagi 15 Ogos dan mengambil masa hampir 12 jam untuk sampai ke puncak.

Selain keadaan cuaca sejuk ekstrim dengan suhu negatif 20 darjah selsius, Sara Sofea juga berdepan dengan angin kencang yang bertiup sepanjang pendakian yang menyukarkan lagi pergerakannya.

Menurut Sara Sofea, ia adalah pendakian yang sukar kerana faktor ketinggian dan cuaca sejuk dengan suhu di bawah paras beku negatif 20 darjah selsius selain berat peralatan pendakian.

“Saya turut mengalami Penyakit Akut Gunung (AMS) kerana faktor ketinggian gunung selain kekurangan oksigen, namun dengan dorongan bapa serta pendaki sokongan, pendakian diteruskan.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat mencapai impian saya ke puncak tertinggi Eropah walaupun dalam keadaan mencabar dan kejayaan ini ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 tidak lama lagi,” katanya yang turut berazam mengikut jejak langkah bapanya menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Kejayaan remaja dari Subang, Selangor itu turut mendapat pengiktirafan daripada Presiden Mountaineering, Rock Climbing and Sports Tourism, Federation Of Kabardino-Balkarian, Republic Of Russia, Abdul Halim Olimezov yang mengesahkan Sara Sofia adalah pendaki termuda Malaysia dan Asia Tenggara yang berjaya menawan puncak Gunung Elbrus.

Misi ekspedisi menawan puncak tertinggi Eropah itu dianjurkan KJA dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Gunung Elbrus yang terletak di Banjaran Caucasus, selatan Russia dan bersempadan dengan wilayah Georgia adalah gunung berapi tidak aktif.

Ia menjadi tumpuan pendaki yang mahu mencipta rekod pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia yang dikenali sebagai Seven Summit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:35 PM