GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


MAYAT seorang wanita dalam keadaan rentung dipercayai dibunuh ditemui penduduk kampung di kawasan kebun di Batu 8, Jalan Keningau-Sook, Keningau, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Sarah Israkil, 44, ditemui dalam keadaan terlentang dan terbakar di bawah pokok mangga oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan menuju ke kebunnya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketika kejadian, saksi berusia 28 tahun itu dalam perjalanan menuju ke kebunnya dengan menaiki motosikal.

“Sebaik tiba di lokasi, saksi terkejut apabila melihat satu mayat terbakar di bawah pokok mangga sebelum bertindak menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

“Saksi juga menyatakan, jarak lokasi kejadian dengan pondok kebunnya tidak jauh iaitu kira-kira 200 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrudin berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kawasan terpencil dan sunyi serta dikelilingi semak samun, namun tidak jauh dari jalan besar Keningau-Sook.

“Terdapat kesan pergelutan di tempat kejadian iaitu di laluan tidak berturap dan siasatan awal mendapati, mayat mangsa diseret sejauh kira-kira lima meter sehingga ke bawah pokok mangga untuk dibakar.

“Polis turut menemui satu bekas putih berbau bahan bakar disyaki digunakan suspek untuk membakar mayat mangsa.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi berjaya menemui pisau sepanjang 28.5 sentimeter disyaki digunakan suspek untuk menikam mangsa dan satu cincin disyaki milik mangsa yang tertanggal,” katanya.

Shahrudin berkata, siasatan lanjut pasukan forensik terdapat enam kesan tikaman pada badan mangsa iaitu di dada, siku, punggung dan dua di bahu selain putus ibu jari.

“Pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan mayat mengalami kesan terbakar teruk termasuk wajah mangsa tidak dapat dikenal pasti manakala usus terburai.

“Setakat ini, tiada laporan orang hilang diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dan tiada juga waris tampil menuntut mayat mangsa,” katanya.

Katanya, tiada saksi yang melihat kejadian namun usaha mengesan suami mangsa sedang dilakukan.

“Polis kini giat mengesan suami mangsa dikenali sebagai Parson Pulalon berusia 40-an bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 7:47 PM