WANITA warga Thailand ditahan di sebuah pusat urut di Lebuh Macallum. FOTO ihsan imigresen
Shamsul Munir Safini


WANITA Thailand diberkas Jabatan Imigresen Imigresen (JIM) Pulau Pinang dalam keadaan bogel bersama pelanggan di sebuah pusat urut di Lebuh Macallum, Georgetown, semalam.

Dalam operasi disertai 19 pegawai dan anggota itu, sembilan premis perniagaan di sekitar Georgetown dan Bayan Lepas diserbu sebelum 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita ditahan.

Pengarah JIM negeri, Muhamad Husni Mahmud berkata, dalam operasi itu, pihaknya menyerbu pusat urut di Lebuh Maccalum dan menahan wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut.

“Ketika serbuan, wanita itu berada di sebuah bilik bersama pelanggan lelaki warga tempatan.

“Semasa pegawai kami menyerbu ke premis itu, dia dalam keadaan berbogel melayan pelanggannya,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan bekerja sebagai tukang urut di daerah ini.

Katanya, dalam operasi itu juga, pihaknya menyerbu sebuah pusat hiburan di Lebuh Sungai Pinang sebelum menahan lima wanita PATI dari Vietnam dan Thailand.

“Operasi ini dilakukan bagi mengekang kehadiran PATI yang masuk menggunakan pas lawatan sosial namun bekerja di premis hiburan dan pusat urut.

“Selain itu, JIM menyerbu premis restoran yang menggaji warga asing, dan hasilnya empat lelaki masing-masing dua dari Myanmar dan India ditahan,” katanya.

Muhamad Husni berkata, dalam operasi itu juga pihaknya menahan lima lelaki Bangladesh di tapak pelupusan sampah di Hilir Sungai Kluang dan seorang lelaki Thailand bekerja sebagai tukang masak di Gelugor.

Menurutnya, mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Juru bagi tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)c dan Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 8:19 PM