FOTO hiasan
Noorazura Abdul Rahman


SEBUAH feri penumpang membawa 139 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi jam 7 petang semalam terpaksa berpatah balik akibat angin kencang di perairan Kuala Kedah.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, keputusan itu terpaksa dibuat kapten feri demi keselamatan penumpang selepas berlepas lapan batu nautika dari Terminal Feri Kuala Kedah.

Katanya, pihak Ferry Line Venture sudah memulangkan tambang kepada penumpang dan ada penumpang menukar tiket perjalanan pada jam 7 pagi ini.

“Kejadian ribut tempias daripada Taufan Lekima minggu lalu memberi peringatan kepada semua pihak termasuk syarikat kami untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi cuaca buruk.

“Keputusan berpatah balik adalah pertama kali dilakukan kerana tidak mahu mengambil risiko membahayakan keselamatan penumpang,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 12:20 AM