BANJIR kilat yang melanda Kampung Periuk dan Kampung Baru, Kuala Lumpur akibat hujan lebat, kelmarin.
Mohd Hilmie Hussin


KUALA LUMPUR: Jadikan amalan menyemak keadaan cuaca menerusi laman web, laman sosial dan aplikasi di telefon pintar sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi.

Demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir kilat di laluan utama Persiaran Kewajipan, Subang Jaya termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, kelmarin.

Menurutnya, cuaca hujan sememangnya sudah dijangka dan bukan perkara yang aneh dan tiba-tiba berlaku.

“MetMalaysia sudah membuat hebahan melalui Instagram, Facebook Info Cuaca Malaysia selain edaran dibuat kepada media serta pihak berkuasa tempatan.

“Zaman sekarang, warga kota terutamanya tidak patut berdepan isu mendapat maklumat yang terhad dengan masing-masing memiliki telefon pintar. Kita sediakan aplikasi myCuaca dan pengguna hanya perlu muat turun dan menyemaknya di sana,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebelum hujan lebat jam 3 petang kelmarin, MetMalaysia sudah mengeluarkan tiga kali amaran menerusi semua laman sosial termasuk edaran kepada rangkaian televisyen dan radio namun tidak dapat dipastikan sama ada amaran terbabit dihebahkan atau tidak.

Katanya, hujan di USJ kelmarin, bukan paling lebat jika dibandingkan dengan Petaling Jaya dan sekitar Parlimen, namun punca sebenar mengapa air di jalan terbabit tidak mengalir perlu disiasat.

Lewat petang kelmarin, tular video beberapa kereta dihanyutkan akibat banjir kilat di laluan utama Persiaran Kewajipan, Subang Jaya termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Hujan lebat sejak jam 3 petang itu menyebabkan laluan berkenaan dinaiki air pada paras tiga hingga 3.5 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:50 AM