KEADAAN berjerebu di Kuala Baram akibat kebakaran belukar gambut di beberapa kawasan di Miri, 14 Ogos lalu. FOTO ihsan Farizan Jalal
BERNAMA

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman dan Stesen Pengawasan Udara Automatik yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri kembali mencatat peningkatan kepada kategori ‘Sangat Tidak Sihat’, setakat 10 pagi ini.

Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), IPU di Sri Aman melonjak kepada bacaan 241 daripada 76 yang catat pada 12 tengah malam semalam.

Bacaan IPU di ILP Miri pula meningkat kepada 220 setakat 10 pagi daripada IPU 67 yang dicatat pada 12 tengah semalam.

Sementara itu, bacaan IPU di SK Baram 2 juga menunjukkan peningkatan dengan dari IPU 63 pada lewat malam semalam kepada bacaan 118 pada 10 pagi ini yang dikategorikan sebagai ‘Tidak Sihat’.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 11:20 AM