Nurul Hidayah Bahaudin


SUSPEK lelaki disyaki melanggar Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam kemalangan di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Southville City, Bangi, 10 Ogos lalu, disambung reman selama lima hari.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, permohonan reman terhadap suspek dilakukan di Mahkamah Seksyen Bandar Baru Bangi, kira-kira 10 pagi tadi.

“Permohonan reman terhadap suspek lelaki dibenarkan untuk disambung semula selama lima hari bermula hari ini hingga 21 Ogos nanti bagi siasatan lanjut.

“Reman isteri suspek pula tidak disambung semula,” katanya dalam kenyataan di Bangi, hari ini.

Permohonan sambung semula reman terhadap suspek dibuat selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini tamat hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Syed Muhammad Danial, 29, meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dengan suspek berusia 40 tahun selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.


REMAN suspek disambung lima hari lagi di Mahkamah Bandar Baru Bangi. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Difahamkan kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar-mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Katanya, suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial.

Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 1:09 PM