GAMBAR HIASAN
Muhd Amirul Faiz Ahmad


DUA kediaman masing-masing di Kampung Sangki, Simunjan, dan Kampung Sedi, Pulau Bruit, Mukah, terbakar akibat kebakaran belukar di Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, kediaman di Kampung Sangki itu hanya membabitkan 10 peratus sahaja struktur terbakar, manakala kediaman di Kampung Sedi, musnah sama sekali.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata, sehingga 8 pagi tadi, 17 kes tambahan membabitkan kebakaran belukar dan hutan dilaporkan.

“Bermula 1 Ogos hingga hari ini (sehingga 8 pagi), kita merekodkan jumlah keseluruhan kes kebakaran belukar dan hutan adalah 494 kes dengan kawasan terbakar membabitkan keluasan 563 hektar.

“Bahagian Kuching mencatatkan kebakaran belukar sebanyak lapan kawasan, Samarahan (dua kawasan), Betong (tiga kawasan) dan Miri (empat kawasan,” katanya dalam kenyataan, di Kuching, hari ini.

Ling Hii ketika mengulas lanjut, berkata, kebakaran di Kampung Sedi sudah masuk hari yang ke-10 dengan kebakaran membabitkan keluasan 40 hektar, manakala di Kampung Sangki pula membabitkan 20.2 hektar.

“Seluas 37.2 hektar kebakaran hutan di Kampung Sedi itu sudah berjaya dipadamkan, manakala di Kampung Sangki pula seluas 14 hektar kebakaran sudah dipadamkan. Kita akan menyambung semula usaha memadamkan sepenuhnya baki kawasan terbakar secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, kualiti udara di Miri terus terjejas apabila satu stesen di bahagian itu mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat iaitu ILP Miri yang mencatat bacaan 220, stesen SK Baram 2 mencatat kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 119 dan Sri Aman merekodkan bacaan sangat tidak sihatiaitu 243, pada 12 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 1:45 PM