ANGGOTA APMM melakukan carian di kawasan 460 batu nautika persegi. FOTO Ihsan APMM.
Zatul Iffah Zolkiply


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) peserta kayak warga Singapura yang hilang sejak 8 Ogos lalu diperluas ke kawasan 460 batu nautika persegi.

SAR hari kesembilan itu membabitkan kawasan carian dari perairan Kuala Kemaman hingga ke Pulau Kapas di Marang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, hari ini pasukan SAR memfokus kawasan dari Merchang ke Pulau Kapang yang membabitkan empat bot.

Katanya, dua bot milik APPM serta masing-masing satu daripada Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain bantuan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kita turut mendapatkan bantuan enam bot nelayan Dungun dan Marang dengan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 58 pegawai dan anggota pencarian.

“Buat masa ini, belum ada petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam dilaporkan, nelayan bot pukat tunda dikatakan ada menemui mayat lengkap dengan jaket keselamatan dipercayai mangsa di lapan batu nautika dari Kuala Dungun.

Bagaimanapun, mayat dibiarkan hanyut sebelum penemuan itu dilapor kepada pihak berkuasa.

Khamis lalu, seorang lagi mangsa hilang iaitu Puah Geok Tin, 57, ditemui pada 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman dan pengecaman dilakukan anaknya di Unit Forensik Hospital Kemaman, sebelum dituntut untuk dibawa pulang ke Singapura.

Puah dan rakannya, Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang pada 5.40 petang, 8 Ogos lalu selepas kayak dinaiki mereka terpisah daripada kumpulan 13 kayak di Perairan Endau Mersing, Johor.

Berita berkaitan:

  • Lega mayat ibu ditemui [METROTV]
  • Jumpa mayat disyaki pelancong berkayak [METROTV]
  • Pelancong berkayak hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 4:06 PM