Skip this ad x
YU paus yang ditemui mati oleh nelayan di tujuh batu nautika dari Jeti Pengkalan Parit Jawa. FOTO Ihsan Pembaca.


IKAN besar yang ditemui mati di perairan Tanjung Tohor, Muar, hari ini dikenal pasti daripada spesis Rhincodon Typus atau yu paus yang sesat ke Selat Melaka.

Ketua Jabatan Perikanan Daerah Muar, Mohd Faris Adnan berkata, spesis yang semakin pupus itu ditemui hanyut oleh sekumpulan nelayan pada jarak tujuh batu nautika dari Jeti Pengkalan Parit Jawa.

Katanya, yu paus dianggarkan seberat lima tan itu akan dibawa ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang, Terengganu, hari ini bagi proses bedah siasat.

“Di pihak Unit Perlindungan Sumber Batu Pahat pula, mereka akan membuka kertas siasatan bagi mengetahui punca kematian termasuk maklumat lengkap berkaitan umur, jantina dan saiz sebenar yu paus ini.

“Setakat ini, kita anggarkan ia sepanjang enam meter dan selebar 1.5 meter. Bagaimanapun, kita masih belum mengenal pasti jantinanya,” katanya ketika ditemui di Jeti Pengkalan Nelayan Parit Jawa, hari ini.

Menurut Mohd Faris, pihaknya dimaklumkan TUMEC bahawa ikan itu akan diawet selepas selesai proses bedah siasat.

Katanya, yu paus antara spesis ikan terancam dan berkemungkinan besar ia sesat memandangkan perairan negara lokasi habitatnya.

“Berikutan itu, saya menasihati orang ramai termasuk nelayan sekiranya menemui spesis hidupan laut yang aneh supaya segera menghubungi pihak berkaitan.

“Jangan bertindak melulu sekiranya ia masih bernyawa kerana mereka (nelayan dan orang ramai) boleh didakwa di bawah akta berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 7:28 PM