MOHD menyiram air di pusara Mohd Suffian selepas selesai pengebumian, hari ini. FOTO Malik Muhamad.
Malik Muhamad


“ARWAH datang ke rumah ayah pada 12.30 tengah hari tadi (hari ini), nak makan nasi tetapi tidak sempat kerana tiba-tiba semput (sakit dada),” kata Nurfarahin Mohd, 27, adik ipar kepada penjaga gol Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abd Rahman.

Mohd Suffian, 41, yang juga bekas penjaga gol kebangsaan menghembuskan nafas terakhir pada 1.10 tengah hari di sisi ahli keluarga termasuk isterinya Nurmunirah, 33, di rumah bapa mentua di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Nurfarahin berkata, pemergian arwah kehilangan sangat dirasai kerana Mohd Suffian menjadi harapan keluarga dan banyak membantu mereka.

“Hubungan kami sangat rapat. Walaupun arwah hanya ipar tetapi kami menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri.

“Arwah dikebumikan di sini (Kuala Terengganu) kerana itu adalah permintaannya. Sebelum ini, dia pernah berpesan supaya kami menguruskan jenazahnya dan mengebumikan di Terengganu sekiranya dia meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, bapa mentua Mohd Suffian, Mohd Sulaiman, 61, sedih kerana kehilangan menantunya di saat mereka sekeluarga berkumpul untuk menikmati makan tengah hari bersama.

Katanya, ketika tiba di rumah, menantunya yang dilahirkan di Melaka, kelihatan lemah memandangkan belum pulih sepenuhnya daripada serangan jantung, akhir bulan lalu.

“Arwah datang bersama Munirah (isterinya) pada 12.30 tengah hari dan berehat di atas katil sementara menunggu ahli keluarga lain menyiapkan hidangan, saya pula pergi mengambil wuduk.

“Sebaik selesai mengambil wuduk saya terdengar bunyi riuh rendah di dalam rumah dan mendapati Suffian sudah tidak bernyawa,” katanya.

Jenazah Mohd Suffian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol Pauh, Kuala Nerus pada 6.50 petang, hari ini.

Berita berkaitan

Suffian sudah tiada

Kehilangan Suffian amat dirasai...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 8:52 PM