KANAK-KANAK lelaki berusia empat tahun dibawa ke Balai Polis Kubang Kerian sebelum diserahkan kepada keluarga. FOTO Ihsan Pembaca
KANAK-KANAK lelaki berusia empat tahun dibawa ke Balai Polis Kubang Kerian sebelum diserahkan kepada keluarga. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KANAK-KANAK lelaki berusia empat tahun yang ditemui di stesen minyak di Demit, Kubang Kerian, Kota Bahru sudah diserahkan kepada keluarga kira-kira 11 pagi hari ini.

Terdahulu, penemuan kanak-kanak itu tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi yang mencari waris mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kanak-kanak itu ditemui merayau-rayau di stesen minyak itu seorang diri pada 7.30 pagi.

Katanya, kanak-kanak itu berjalan sejauh kira-kira 200 meter sebelum dia ditemui oleh anggota dari Balai Polis Kubang Kerian.

“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke balai polis sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Kanak-kanak berkenaan ditemui dalam keadaan sihat dan selamat. Kehilangannya tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak kecil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, keadaan di luar berbahaya kepada kanak-kanak termasuk keadaan jalan di lokasi itu yang sibuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 5:33 PM