KAKITANGAN FRI melakukan persiapan untuk bedah siasat yu paus yang ditemui di Muar semalam. FOTO Ihsan FRI.


BEDAH siasat bangkai yu paus yang ditemui di perairan Tanjung Tohor, Muar, semalam dijangka mengambil masa lama, kata Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad.

Menurutnya, spesis Rhincodon Typus itu tiba di Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Dungun pada 10 pagi hari ini dan terus dipersiapkan untuk menjalani proses bedah siasat.

Katanya, prosedur itu dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kematian selain bagi pengumpulan data.

“Hanya melalui bedah siasat akan diketahui maklumat lengkap seperti umur, jantina dan saiz sebenar yu paus ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Tamimi berkata, bangkai haiwan sepanjang enam meter dan lebar 1.5 meter itu diawet selepas kerja bedah siasat selesai.

Jelasnya, yu paus adalah spesis terancam dan berkemungkinan tersesat daripada kawanan hingga memasuki perairan Batu Pahat dan Muar kerana kawasan itu bukan habitat semula jadinya.

Semalam, dilaporkan ikan itu ditemui mati oleh sekumpulan nelayan pada jarak tujuh batu nautika dari Jeti Pengkalan nelayan Parit Jawa, Muar.

Berita berkaitan

Spesis yu paus sesat ke perairan negara

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 5:59 PM