Azrul Affandi Sobry


SEBANYAK 925 operasi turun padang sudah dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi program Mobile Ehsan sepanjang tahun ini bagi membantu mempermudahkan proses mendapatkan MyKad kepada golongan tidak bernasib baik.

Daripada semua operasi itu, JPN sudah menerima 8,940 permohonan bagi urusan pengenalan diri di seluruh negara membabitkan pesakit yang terlantar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu sebagai satu usaha prihatin dan komited jabatannya dalam memastikan mereka yang tidak berkeupayaan mendapatkan dokumen pengenalan diri tanpa perlu hadir ke kaunter JPN seperti amalan biasa.

Tambahnya, JPN dari masa ke semasa akan terus memantapkan program turun padang bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk yang menghadapi kekangan untuk berurusan di pejabat JPN.

“JPN komited bagi memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak, dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan ditawarkan kerajaan.

“Seperti hari ini, saya bersama beberapa pegawai JPN membantu seorang ibu warga tua, Sepiah Mamat yang masih memegang kad pengenalan versi lama, malah ada beberapa kesilapan dalam maklumat di dokumen itu.

“Hasil cabutan maklumat yang dibuat, beberapa maklumat diri sudah kami pinda dan MyKad baharu sudah kami serahkan kepadanya untuk membolehkan beliau menguruskan proses tuntutan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas anaknya meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan MyKad kepada Sepiah, 76, di Kampung Fajar, Ulu Kelang, hari ini.

Sepiah yang lahir pada 1943 sedang uzur dan bergantung kepada bantuan ahli keluarga untuk menguruskan diri, sekali gus menghalang dirinya untuk hadir ke pajabat JPN berhampiran bagi membuat permohonan gantian MyKad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:12 PM
RUSLIN menyerahkan MyKad kepada Sepiah dalam program Mobile Ehsan di Kampung Fajar, Ulu Kelang. FOTO Halim Salleh