GAMBAR kenangan Norwati memangku Nur Annissa ketika ditemui di Kampung Kuala Linggi, Alor Gajah, baru-baru ini. FOTO Khairunisah Lokman.
Rizanizam Abdul Hamid


BAYI perempuan berusia 14 hari yang menghidap ‘holoprosencephaly’ atau otak di luar tempurung kepala, Nur Annissa Zaki, meninggal dunia, petang hari ini.

Ibunya, Norwati Saad, 35, berkata, anak bongsunya daripada lima beradik itu menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 3.50 petang.

“Walaupun sedih, kami reda dengan ketentuan Allah SWT dan berterima kasih kepada mereka yang mendoakan keselamatan dan kesihatan anak kami sejak dua minggu lalu.

“Jenazah akan di bawa pulang ke rumah kami di Kampung Kuala Linggi, Alor Gajah sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Isyak malam ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Norwati berkata, anaknya dikejarkan ke Hospital Port Dickson pada 8 pagi hari ini selepas mengalami masalah pernafasan.

“Malam tadi, Nur Annissa tidak menunjukkan tanda sakit, tetapi pagi tadi saya terkejut mendapati nafasnya semakin laju dan terus membawanya ke hospital.

“Selepas diberi bantuan oksigen dan minum susu melalui tiub, keadaannya masih sama sebelum doktor mengesahkan anak meninggal dunia pada 3.50 petang,” katanya.

Harian Metro pada 9 Ogos lalu melaporkan Norwati dan suaminya, Zaki Rosly, 40, reda dengan dugaan diterima anak bongsunya itu, namun masih berharap dia dapat membesar seperti abangnya yang lain.

Akibat masalah dialaminya itu, otak Nur Annissa berada di luar tempurung kepala selain turut mengalami sumbing di lelangit.

Norwati berkata, ketika usia kandungannya tujuh bulan, dia terkejut apabila doktor memaklumkan bayinya tiada tisu kepala serta saiz kepalanya kecil.

Katanya, dia nekad melahirkan Nur Annissa biarpun doktor memberinya pilihan jika mahu menggugurkan kandungan kerana kemungkinan hayat anaknya itu tidak lama jika dilahirkan.

Berita berkaitan

'Nur Annissa bayi 'ajaib''

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:56 PM