GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan


DUA polis ditahan kerana memeras ugut RM400 daripada pemandu lori di tepi jalan dekat Lorong Hijau 3, Jelutong, Georgetown.

Kedua-duanya berusia 25 dan 28 tahun ditahan pada 6 petang, hari ini di Balai Polis Jelutong selepas dipercayai melakukan demikian e atas mangsa berusia 32 tahun dalam kejadian 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal, menunggu rakannya di tepi jalan sebelum anggota terbabit menghampiri dan memintanya mengeluarkan dokumen pengenalan diri untuk pemeriksaan.

“Mangsa kemudian memberikan kad pengenalannya dan anggota itu meminta dia menyerahkan telefon bimbit serta dompet untuk pemeriksaan lanjut.

“Ketika memeriksa telefon bimbitnya, anggota berkenaan memberitahu ada resit nombor ekor haram di telefonnya dan meminta mangsa mengikut mereka ke balai,” katanya.

Che Zaimani berkata, mangsa mengikut mereka ke Balai Polis Jelutong sebelum dibawa masuk ke dalam satu bilik dan anggota berkenaan memberitahu yang mangsa boleh dikenakan denda hingga RM12,000 jika kes dibawa ke mahkamah.

“Bagaimanapun, mereka memberitahu kes boleh diselesaikan jika mangsa membayar RM2,000 dan sambil menambah mangsa boleh digari jika tidak berbuat demikian.

“Mangsa yang ketakutan memberitahu dia hanya ada RM200 dan diminta ke bank untuk mengeluarkan wang,” katanya.

Menurutnya, mangsa akur untuk mengeluarkan wang simpanannya dan kembali ke balai itu tetapi hanya mampu memberi RM400.

Katanya, selepas wang itu diserahkan, anggota berkenaan menyerahkan kembali dompet dan telefon bimbit mangsa dan dia kemudian membuat laporan polis.

“Susulan laporan, dua anggota itu berusia 25 dan 28 tahun ditahan pada 6 petang tadi (hari ini) dan akan direman esok untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 9:14 PM