MUHAMMAD Syamil. FOTO Ihsan Keluarga
Suraya Roslan


“SAYA mohon ibu kandung kepada ‘anak saya’ ini tampil untuk urusan dokumentasi kerana saya teringin membawanya menunaikan umrah,” kata Kamariah Mansor, 56.

Kamariah kini berusaha mengesan ibu kandung anaknya, Muhammad Syamil Sulaiman Abdullah, 8, yang kini di bawah jagaannya.

Menurutnya, Muhammad Syamil diambil daripada seorang wanita dipercayai dari Negeri Sembilan dikenali Normala Md Kasim.

“Ketika saya ambil Muhammad Syamil di sebuah rumah di PPR Air Panas (Setapak, Kuala Lumpur), Normala dengan rela hati menyerahkan anaknya untuk dijaga oleh saya dan arwah suami.

“Normala mengatakan dia tidak mampu menjaga Muhammad Syamil kerana masih belajar.

“Namun tidak sangka, penyerahan Muhammad Syamil memerlukan dokumentasi lengkap dan saya tidak pernah mengetahui prosedur itu,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ketika ini dia mengalami masalah untuk membawa Muhammad Syamil menunaikan umrah dan bercuti di luar negara kerana tiada dokumen perangkatan anak angkat secara sah.

“Saya berharap Normala dapat memberi maklum balas untuk bertemu dengan saya selain menguruskan perkara berkaitan dokumentasi Muhammad Syamil demi masa depannya,” katanya.

“Saya tidak tahu di mana Normala berada ketika ini dan berharap mendapat kerjasamanya untuk menghubungi saya di talian 014-6481194,” katanya.


MUHAMMAD Syamil. FOTO Ihsan Keluarga

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 9:21 PM