SUPERINTENDAN Mohd Zamri Mohd Rowi. FOTO Arkib NSTP


KETUA Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi yang putus jari kanan akibat ditetak lelaki pesakit mental Khamis lalu, dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan kali kedua, kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, Mohd Zamri kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Beliau berkata, sehingga kini mangsa sudah menjalani dua pembedahan pada bahagian ibu jarinya yang putus akibat ditetak suspek.

“Pembedahan pertama dilakukan pakar untuk menyambung semula ibu jarinya yang putus itu mengambil masa selama 12 jam.

“Bagaimanapun dia terpaksa menjalani pembedahan kedua pada Jumaat lalu bagi membuang ibu jarinya kerana dijangkiti kuman.

“Mohd Zamri kini masih menggunakan bantuan pernafasan untuk bernafas dan dia dijangka perlu mengambil masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, semalam.


AIDI (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman yang baru antara Mohd Said (kiri) dan Hanyan. FOTO Rosli Ilham.

Pada majlis itu, Superintendan Hanyan Ramlan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman yang baru menggantikan Superintendan Mohd Said Ibrahim yang bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Seremban.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Dalam perkembangan lain, Datuk Aidil turut meminta kepada nelayan yang menemui mangsa warga Singapura yang hanyut di laut supaya segera menghubungi pihak berkuasa.

“Kita minta kerjasama nelayan atau orang awam membantu dalam usaha membantu keluarga mangsa yang sangat mengharap supaya mangsa segera ditemui, “katanya.

Pada 8 Ogos lalu, dua warga Singapura, Tan Eng Soon, 62 dan Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Bagaimanapun, mayat Puah ditemui di perairan Kuala Kemaman, Rabu lalu dan susulan penemuan itu Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman.

Berita berkaitan

'Sambung jari KPD Besut 14 jam'

'Lelaki tetak KPD Besut direman'

'[UPDATE] Suspek tetak KPD dah kena tahan'

'Ketua Polis Daerah Besut cedera ditetak'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:18 AM