WAKIL jejak asnaf MAIJ, Mohd Nasir Ishak (kiri) menyampai sumbangan kepada Abdullah.
Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: “Kami bukan orang senang namun saya bersyukur apabila anak sanggup berkorban dengan berhenti kerja untuk menjaga saya dan isteri yang mengalami masalah kesihatan,” kata Abdullah [email protected], 72.

Abdullah berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori namun terpaksa berhenti dan menjadi pekerja am di Masjid Jamek As Solihin, Taman Cempaka sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun dia tidak mampu menjalankan tugas kerana kehilangan kaki kanan yang terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman selain mengalami masalah kabur penglihatan mata kanan.

Katanya, isteri, Robiah Mohd Ali Busu, 72, menghidap penyakit jantung dan sehingga kini mereka berdua menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Keadaan kesihatan saya dan isteri tidak stabil, kami kerap keluar masuk hospital sehingga anak terpaksa bercuti kerja. Saya memiliki lima anak dan syukurlah, mereka bergilir-gilir menjaga dan menguruskan kami di hospital, malah dua daripada mereka terpaksa berhenti kerja.

“Ia termasuk anak ketiga, Shamsul Ariffin, 39, yang menjadi pekerja kontrak dan menggantikan tempat saya sebagai pekerja am di masjid bagi memantau kami setiap masa kerana kami tinggal di kuarters di perkarangan masjid.

“Manakala, anak keempat, Nor Aziani, 36, berhenti kerja sebagai operator pengeluaran di hospital sejak dua tahun lalu untuk menjaga kami,” katanya ditemui ketika menerima kunjungan wakil jejak asnaf Majlis Agama Islam Johor (Maij), Mohd Nasir Ishak, kelmarin.

Abdullah berkata, anak sulung perempuannya adalah orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu manakala anak kedua perempuan adalah ibu tunggal serta tinggal berasingan.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga warga emas itu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam 01041020607903 milik Abdullah [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:31 AM