MONUMPOS atau memasukkan benih padi dalam lubang kebiasaannya dilakukan wanita.
Recqueal Raimi


TUARAN: Uniknya, aktiviti mangasok parai tidong atau menanam padi bukit pada zaman serba moden ini masih memerlukan kerjasama atau semangat gotong-royong penduduk bagi mengusahakannya tanpa menggunakan jentera dan teknologi.

Ia berikutan faktor geografi apabila lokasi penanaman benih padi cerun bukit menyukarkan penduduk menggunakan jentera jika dibandingkan di kawasan batas rata seperti padi sawah.

Tinjauan Harian Metro di Kampung Raganan, Kiulu di daerah ini, padi bukit yang lebih dikenali parai tidong dalam kalangan masyarakat Dusun hampir selesai diusahakan selepas mengerjakan tanaman padi sawah pada bulan lalu.

Penduduk, Bounah Banggang, 47, tanaman parai tidong secara bergotong-royong sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang mereka dan ia hanya mengambil masa tiga hari berlainan iaitu ketika mongurak (membersihkan), mangasok (menanam menggunakan kayu mencucuk lubang) dan mongomot (menuai).

“Awal bulan lalu, kami bergotong-royong membersihkannya. Ia bermula daripada memotong pokok kecil dan besar sebelum menunggu masa kering untuk dibakar bagi membersihkannya selain supaya tanahnya subur.”

“Peringkat kedua pula, kami bergotong-royong mangasok dan monumpos (memasukkan benih padi dalam lubang) dan sebaik ia tumbuh sebelum dijangka musim menuai pada hujung tahun atau awal tahun hadapan, kami sekali lagi akan bergotong-royong,” katanya.


WANITA warga emas menunjukkan benih padi beruang.

Bounah berkata, aktiviti gotong-royong itu dijalankan daripada golongan petani ke petani lain di sesebuah kampung dan hanya mengambil masa setengah hari setiap peringkat.

Sementara itu, pesara guru, Alan Bondulu, 62, berkata, keadaan cerun bukit yang curam itu menyebabkan sukar untuk jentera digunakan namun jika ia boleh digunakan sekalipun, ia bukan menjadi keutamaan penduduk kerana semangat gotong-royong itu sudah lama diamalkan dan menjadi tradisi di kampung itu.

“Aktiviti seumpama ini bukan sahaja diamalkan di kampung ini, malah ramai yang masih mengamalkannya di daerah lain khususnya masyarakat Dusun di negeri ini.

“Dengan mengamalkan gotong-royong, kerja mengusahkan parai tidong menjadi lebih mudah dan cepat selain hubungan persaudaraan akrab sampai bila-bila,” katanya.

Menurut Alan yang juga Ketua Kampung Raganan, Kiulu, pada zaman ini generasi muda masih membantu mengamalkan aktiviti mangasok namun tidak dinafikan ia mungkin bakal berakhir suatu hari nanti.

“Ketika ini, hanya individu dibawa 1980-an yang masih ramai mengamalkannya dan generasi muda terlalu kurang pada masa ini untuk membantu kerana sibuk bekerja di kawasan bandar.”

“Maka, tidak hairan jika suatu hari nanti tradisi mangasok ini berkurang atau hilang ditelan zaman jika tidak ada yang mewarisinya kerana perubahan gaya hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:50 AM