RESORT yang menjadi tumpuan sejak kehilangan Nora.
Azzman Abdul Jamal


SEREMBAN: Resort tempat Nora Anne Quoirin dan keluarganya menginap kini beroperasi seperti biasa dan masih menerima pengunjung selepas lima hari penemuan mayat remaja warga Ireland itu.

Jurucakap resort itu berkata, meskipun keadaan di sekitar resort sunyi ia masih beroperasi dan menerima tempahan daripada pengunjung luar.

“Ia tidak ditutup. Kita hanya membuka pintu untuk pengunjung yang sudah membuat tempahan.

“Ini adalah perkara biasa. Ia kerana kami ingin menjaga privasi tetamu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, tinjauan di kawasan berkenaan mendapati tidak banyak pergerakan melainkan beberapa kenderaan penduduk setempat dilihat melalui kawasan itu berbanding sebelum ini yang mana ia menjadi lokasi tumpuan petugas media dan petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Malah, pintu masuk utama resort penginapan itu kini tidak lagi dihalang pihak berkuasa manakala pintu kedua yang menjadi tempat menunggu petugas media sebelum ini sudah ditutup.

Nora Anne, 15, yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di resort itu bersama keluarganya pada 4 Ogos lalu, sebelum pihak berkuasa melancarkan op SAR dan menemui jasadnya selepas 10 hari.

Dalam perkembangan berkaitan, status seorang lelaki yang ditahan selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan ciapan di laman sosial Twitter mendakwa Nora Anne dirogol Orang Asli, akan ditentukan polis dari Ibu Pejabat Bukit Aman.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, ketika dihubungi berkata, kes berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada Ibu Pejabat Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Bukit Aman siasat, mereka akan buat keputusan (sama ada reman atau dakwa di mahkamah).

“Suspek pun pada mereka. Kami tidak tahu (keputusan yang akan dibuat terhadap lelaki itu),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:01 AM