JURAGAN dan penumpang dari Filipina yang ditahan PPM. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan seorang juragan bersama lapan penumpang warga Filipina selepas disyaki cuba menyusup masuk secara haram melalui perairan Pulau Sisipan, dekat Semporna, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sepasukan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) berjaya mengesan sebuah perahu menggunakan enjin pam dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit kira-kira 8 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seorang juragan lelaki suku Pala’uh membawa lapan penumpang dari Sitangkai, selatan Filipina masing-masing berumur antara 16 hingga 65 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati semua penumpang mengaku datang dari Sitangkai, Filipina dengan membayar sejumlah wang sebanyak RM70 atau 3,000 Peso Filipina kepada juragan berkenaan.

“Turut ditemui, sejumlah wang Peso Filipina dipercayai milik juragan dan penumpang selain barangan peribadi termasuk lima unit tong gas petroleum cecair (LPG) disembunyikan dalam ruangan perahu terbabit,” katanya dalam kenyataan, di Sempornai, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri kemudian ditangkap dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Katanya, turut dirampas ialah sebuah perahu bersama enjin pam dan barang kawalan bernilai RM7,337.20.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 9:07 AM