Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN lelaki minum minuman keras dan membuat kacau di dalam pesawat mengundang padah apabila dia ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang pramugari daripada sebuah syarikat penerbangan, berusia 26 tahun, berhubung kejadian itu.

“Ketika pramugari terbabit sedang bertugas dalam penerbangan domestik dari Langkawi, Kedah menuju ke Subang jam 9.40 malam tadi, dia mendapati suspek berusia 23 tahun itu minum minuman berwarna kuning dipercayai minuman keras yang diletakkan di dalam botol mineral.

“Wanita itu menegur suspek selepas mendapati minuman berkenaan adalah minuman keras. Bagaimanapun, suspek terus minum minuman terbabit walaupun beberapa kali ditegur oleh pramugari berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, ketika pesawat itu hendak mendarat di lapangan terbang terbabit pada 10.50 malam, suspek membuat kacau dan memanggil pramugari berkenaan.

“Suspek bertindak membaling botol mineral kosong ke arah pramugari itu, namun tidak mengenainya. Ketika pesawat menghala ke ‘parking bay’, lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap wanita berkenaan.

“Selepas pesawat itu berhenti dan semua penumpang turun, ketua pramugari meminta bantuan daripada pengawal keselamatan syarikat penerbangan terbabit untuk membawa penumpang itu ke balai polis sebelum membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas satu botol mineral berisi cecair kuning dipercayai minuman keras dan tiket penerbangan dari Langkawi, Kedah ke Subang milik suspek dalam tangkapan itu.

“Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah membabitkan kes berkaitan Sekyen 379 Kanun Keseksaan.

“Kes itu disiasat di bawah Peraturan 99, Peraturan Penerbangan Awam (Pindaan) 2016, Akta Penerbangan Awam 1969,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 9:44 AM
Digital NSTP Subscribe