AB Rahman menceritakan detik cemas melawan komunis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

MEMIKUL mayat komunis yang terburai isi perut sejauh 100 meter (m) selain tidur bersama mayat selama satu malam, adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Sarjan Bersara Ab Rahman Yaacob, 65, sepanjang 20 tahun berkhidmat dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Mengimbau kembali peristiwa itu, Ab Rahman berkata, ia berlaku pada 1975 ketika beliau bersama-sama beberapa anggota yang lain terbabit dalam operasi Gonzales di Slim River, Perak untuk menentang kumpulan komunis.

“Semasa pertempuran itu, pasukannya dapat menembak mati lima daripada sembilan komunis yang menyerang dan kesemua mayat komunis yang ditembak itu dikumpulkan di satu tempat bagi mengelak ancaman binatang buas sebelum menanti helikopter datang pada keesokan hari.

“Saya memikul mayat komunis yang ditembak mati dan terburai isi perutnya bermula dari atas bukit untuk dibawa ke lokasi pendaratan helikopter kira-kira 100 meter.

“Ketika memikul mayat itu, saya sedikit berasa agak gentar selain uniform juga dipenuhi darah serta bau darahnya yang hanyir sehingga menusuk hidung,” katanya ketika ditemui di Ketereh, semalam.

Bapa kepada empat anak berkata, selain pengalaman itu terdapat beberapa peristiwa lain yang menjadi kenangan hingga akhir hayatnya termasuk ketika menyertai operasi Toya Musnah di Sadao, Thailand pada 1976.

“Dalam kejadian itu, platunnya seramai 20 orang dikerah masuk ke kawasan Bukit Sadao bagi menjejaki kumpulan komunis selepas menerima maklumat dan arahan untuk mengepung kawasan berkenan yang dianggarkan terdapat kira-kira 200 pengganas komunis.

“Pada hari pertama rondaan di sekitar kawasan bukit, salah seorang rakan saya maut akibat terpijak jerangkap samar sehingga bahagian gerahamnya pecah,” katanya yang kini menetap di Kampung Paloh Rambai, Ketereh.

Ab Rahman berkata, keesokan harinya pula, platunnya sekali lagi membuat rondaan dan menemui lima pengganas komunis wanita yang lengkap beruniform di dalam kem, namun mereka tidak dibunuh kerana bimbang ada yang sedang mengandung.

“Pengganas komunis wanita yang kami tangkap itu dibawa ke satu tempat dan kemungkinan besar komunis yang lain dapat menghidu jejak kami dari awal dan mereka sudah melarikan diri ke kawasan lain.

“Bagaimanapun, pada hari ketiga rondaan, saya terkena tembakan di bahagian betis kanan selepas platun saya ditembak bertalu-talu oleh pengganas komunis ketika kami melalui kawasan kebun.

“Disebabkan terkena tembakan itu saya mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar hampir dua bulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Katanya, walaupun ketika operasi di Sadao, Thailand menyebabkan seorang anggota platun terkorban dan beberapa yang lain tercedara termasuknya, namun ia menjadi kebanggaan apabila kawasan operasi berkenaan berjaya ditawan.

“Kesan tembakan itu, menyebabkan bahagian kaki kanan saya sering kali berasa kebas terutamanya apabila berada dalam keadaan bersila,” katanya.

Ab Rahman berkata, pada November 1978, dia ditukarkan untuk bertugas di Batalion Infantri 105 Askar Wataniah (AW) bagi mengendalikan pendatang asing tanpa izin Vietnam, sebelum menggalas tugas terakhir sebagai Ketua Kerani di Batalion Infantri 105 (AW) dan bersara pada 1993.

“Bertempur dengan komunis masih segar dalam ingatan saya dan ia adalah pengalaman mengerikan dan bersyukur kerana kini tiada lagi ancaman komunis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:44 AM