Nur Lela Zulkipli


LELAKI Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atas tuduhan menyeludup migran di Sekinchan, awal bulan lalu.

Tertuduh, Syahriandi, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Abdul Halim Aman selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Syahriandi didakwa mengangkut migran yang diseludup iaitu Ridho Kurniawan, 23, pada 2 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Tali Air 10, Kampung Tengah Pasir Panjang, Sekinchan pada 2 petang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 26 J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM250,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Abdul Halim menetapkan 8 September ini sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 11:35 AM
Syahriandi dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam atas dakwaan menyeludup migran awal bulan lalu. FOTO Roslin Mat Tahir