SHARIZAL. FOTO Muhaizan Yahya (Gambar kecil dari atas) Muhammad Sharidan dan Siti Rafini. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Hafizee Mohd Arop


“MEREKA pasangan yang sangat rapat, pergi ke mana pun tak akan berenggang hingga perniagaan mereka pun diuruskan bersama.

“Semalam, ada kenduri sepupu kami bertunang, mereka menaiki motosikal tiga beranak meronda seluruh kampung dan kami sendiri melihat kemesraan mereka,” kata Sharizal Abdul Aziz, 35.

Sharizal adalah abang kepada Muhammad Sharidan, 29, yang maut bersama isteri, Siti Rafini Rafie, 27, dan anak mereka Rafiq berusia 14 bulan dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Alah Batu, dekat Slim River, hari ini.

Menurutnya, adik serta adik iparnya itu sangat rajin bekerja dan sentiasa mengutamakan keluarga.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan suami isteri itu, semalam dan mereka hanya bersembang kosong sekejap sahaja kerana pasangan itu sibuk menguruskan majlis kenduri pertunangan sepupu mereka.

“Kami mengadakan majlis pertunangan sepupu semalam dan menggunakan katering keluarga mentua arwah adik saya itu. Jadi mereka memang sibuk menguruskan majlis itu semalam.

“Selepas habis kenduri, saya melihat mereka meronda seluruh kampung dengan menaiki motosikal dan tidak menyangka kemesraan mereka itu rupanya petanda mereka akan pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River, Slim River.

Menceritakan kebakaran itu, Shahrizal berkata, dia yang tinggal tidak jauh dengan rumah adiknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima berita kejadian, 3.30 pagi.

Katanya, sebaik tiba, dia mendapati api sudah marak membakar keseluruhan rumah sebelum dimaklumkan jiran ada mendengar suara arwah adik dan adik ipar menjerit meminta pertolongan.

“Mereka pergi tanpa meninggalkan apa-apa barangan peribadi kerana keseluruhan rumah dan Toyota Hilux milik mereka musnah,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga beranak itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Slim selepas solat Zuhur hari ini.

Berita berkaitan

Jeritan Idah minta tolong

Tiga beranak rentung

[UPDATE] Identiti tiga beranak dikenal past

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:05 PM