Perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib ditangguhkan hari ini ke Isnin depan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Murni Wan Omar


PROSIDING bicara kes skandal terbesar negara membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka bermula Isnin ini. Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan demikian selepas dimaklumkan pihak pendakwaan dan pembelaan belum bersedia meneruskan prosiding itu berikutan terdapat beberapa isu perlu diselesaikan.

Terdahulu, pendakwaan yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pihaknya baru menyerahkan 12 pernyataan saksi bagi kes itu kepada pembelaan Jumaat lalu.

“Pihak pembelaan mempunyai hak untuk meneliti pernyataan saksi itu dalam tempoh 14 hari.

“Kami juga akan menyerahkan 15 ikatan dokumen membabitkan kes ini kepada pembelaan hari ini.

“Perbicaraan dana SRC International yang juga membabitkan Najib pula belum selesai dan kini di peringkat saksi terakhir.

“Saksi terakhir ini memerlukan masa sekurang-kurangnya satu setengah hari lagi. Kami jangka ia berakhir minggu ini. Kami mohon kes 1MDB ini bermula 3 September ini,” katanya.

Hakim Collin kemudian bertanyakan kepada pendakwaan berhubung tindakan mereka lambat memberikan pernyataan saksi sedangkan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan lebih awal.

Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa ia berikutan minggu lalu, Mahkamah Persekutuan baru memutuskan untuk menolak permohonan pendakwaan menangguhkan kes itu dan memerintahkan supaya pernyataan saksi diberikan Jumaat lalu.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak bersedia untuk meneruskan perbicaraan kerana memerlukan masa meneliti pernyataan saksi yang baru diterima.

“Malah hari ini kami akan menerima 15 lagi dokumen daripada pendakwaan untuk diteliti.

“Kami bukan saja membuat persiapan untuk kes ini malah kes membabitkan dana SRC International juga.

“Kes 1MDB membabitkan dokumen yang lebih banyak berbanding SRC International. Pernyataan saksi pula membabitkan 90 muka surat hingga 200 muka surat setiap individu.

“Oleh itu adalah wajar untuk kes ini bermula 3 September depan, kita akan memaklumkan kepada mahkamah berhubung perkembangan Selasa ini,” katanya.

Hakim Collin pula memutuskan supaya prosiding bicara bermula Isnin ini tetapi memberi kelonggaran dan bersedia berbincang untuk menangguhkan kes jika diperlukan.

“Saya boleh menangguhkan kes sekejap atau separuh hari tetapi perbicaraan diteruskan Isnin depan dan saya tetapkan Khamis ini untuk kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah berhubung perkembangan kes SRC.

“Saya cadangkan supaya pihak pendakwaan menyediakan saksi rasmi Isnin depan manakala hari ini ucapan pembukaan boleh dibacakan. Jika pernyataan saksi tidak dapat sempat diteliti, kita akan teruskan dengan keterangan secara lisan,” katanya.

Sri Ram berkata, pihaknya belum bersedia membacakan ucapan pembukaan itu dan keterangan saksi tidak sesuai dibuat secara lisan kerana ia mengambil masa panjang.

Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah menetapkan kes itu berlangsung tiga bulan iaitu bermula hari ini hingga 29 Ogos, sepanjang September dan Oktober serta hingga 14 November ini kecuali pada Jumaat dan cuti umum.

Lebih 60 saksi tempatan dan antarabangsa dijangka hadir memberi keterangan dan ia membabitkan ratusan dokumen yang akan dikemukakan di mahkamah.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:33 PM