Seramai 1,439 pesakit buah pinggang menerima rawatan dialisis di Melaka. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


SERAMAI 1,439 pesakit buah pinggang direkodkan menerima rawatan dialisis di Melaka sejak 2016 hingga Disember lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, mereka menerima rawatan di empat lokasi pusat rawatan hemodialisis iaitu di hospital dan klinik kerajaan, unit hemodialisis hospital swasta, pusat hemodialisis swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Daripada jumlah itu, 186 pesakit berusia antara 50 hingga 60 tahun dirawat di hospital dan klinik kerajaan iaitu Hospital Melaka (75 pesakit), Hospital Alor Gajah (50), Hospital Jasin (41) dan Klinik Kesihatan Cheng 20 pesakit.

“Baki 1,253 lagi pesakit dirawat di 25 pusat rawatan hemodialisis swasta termasuk hospital dan NGO Melaka yang menyediakan 292 mesin,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Hospital Melaka bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan bilangan pesakit buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat 106,000 menjelang 2040.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Bahari Awang Ngah dilaporkan berkata,

data ‘National Renal Registry’ pada penghujung 2016 menunjukkan, terdapat 39,711 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara.

Jumlah itu katanya, dijangka terus meningkat setiap tahun dan lebih membimbangkan apabila 64 peratus pesakit buah pinggang yang menerima rawatan dialisis adalah penghidap diabetes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 1:24 PM