Dr Zakir Naik dilarang berceramah di Melaka kecuali melancong. FOTO Fathil Asri
Fairuz Zaidan


MELAKA tidak membenarkan Dr Zakir Naik menyampaikan ceramahnya di negeri itu tetapi mengalu-alukan kedatangan penceramah bebas itu untuk melancong ke negeri bersejarah berkenaan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penceramah itu sewajarnya memfokuskan kepada bidang dakwah di negaranya memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.

“Dr Zakir dialu-alukan melancong ke Melaka, supaya beliau boleh mengenali keharmonian hidup masyarakat.

“Pada masa sama, Melaka boleh menjadi model bagaimana perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam kerukunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Melaka pernah menjemput Dr Zakir menyampaikan syarahannya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung, pada 17 April 2016.

Kehadiran Dr Zakir naik itu menarik penyertaan ramai peserta termasuk bukan Islam dalam program yang dianjurkan bersama kerajaan negeri serta sebuah syarikat swasta.

Bagaimanapun, baru-baru ini media menyiarkan Zakir mengeluarkan kenyataan yang menyentuh keharmonian negara sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, Dr Zakir sepatutnya tidak berceramah berkaitan politik, sebaliknya menumpukan kepada agama.

Berita berkaitan

Dr Zakir Naik dipanggil Bukit Aman lagi

Tak boleh 'dakwah' politik perkauman Zakir [METROTV]

Dr Zakir Naik dipanggil semula 19 Ogos

Dr Zakir Naik selesai beri keterangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 1:36 PM