Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bersama Latheefa Koya di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff
Khairul Azran Hussin


SEMUA Ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta masing-masing termasuk sumber pendapatan daripada derma, wasiat dan pusaka.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, semua Ahli Parlimen perlu jujur berhubung perkara itu bagi mengelak timbulnya masalah kemudian hari.

“Semua Ahli Parlimen kena isytihar aset secara penuh, kena beritahu daripada sumber mana. Jika dia (Ahli Parlimen) ada dapat gaji (daripada sumber lain), dia kena isytihar ada dapat gaji.

“Contohnya dia ada pak cik kaya sudah meninggal dunia dan beri harta pusaka kepada dia, dia kena isytihar. Contohnya ada orang bagi dia hadiah dan derma dalam jumlah besar, dia kena isytihar.

“Adalah lebih baik isytihar awal-awal, jangan apabila sudah kena (tangkap SPRM) baru hendak isytihar. Dia juga kena isytihar liabiliti, jadi SPRM dapat bandingkan antara aset dan liabiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mewajibkan Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen pembangkang adalah tidak adil kerana mereka turut memiliki sumber pendapatan lain selain elaun Ahli Parlimen.

Najib berkata, adalah tidak adil jika seseorang Ahli Parlimen yang mempunyai punca pendapatan lain kemudian diisytihar sebagai aset serta dimasukkan sebagai punca pendapatan sebagai Ahli Parlimen.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudian perlu dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Senarai nama Ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta akan dipaparkan di portal berkenaan.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:01 PM