Sarah Zulkifli


PEMBANTU rumah anak yatim didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, Selayang, hari ini, atas tuduhan membunuh bayi 13 bulan yang ditemukan dengan 39 kesan kecederaan pada badannya di sebuah rumah di Gombak, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Tengku Faiz Kamarul Azhan Tengku Kamarudin, 34, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Ini berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang memakai baju-T dan seluar berwarna hitam dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa dengan niat melakukan bunuh ke atas Sofiea Faqihah Abdul Raqiib yang berusia setahun satu bulan di rumahnya di Taman Gombak Permai, Gombak, antara 7.30 malam dan 8.05 malam, 4 Ogos lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Difahamkan, tertuduh dan isterinya menjaga mangsa yang juga anak tidak sah taraf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:28 PM
TERTUDUH dibawa ke mahkamah. FOTO Hafiz Sohaimi