GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Khairul Azran Hussin


SEPARUH daripada kes rasuah yang dilaporkan di negara ini membabitkan penjawat awam dan golongan muda berumur 40 tahun ke bawah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, statistik SPRM menunjukkan 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan sejak 2014 hingga Jun lalu adalah kakitangan awam.

“Manakala 53.4 peratus daripada jumlah ditahan bagi tempoh sama adalah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah

“Kebanyakan kesalahan membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan. Sudah pasti perkara ini amat membimbangkan kita,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Melafazkan dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) EXCO Kerajaan Selangor di di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Latheefa berkata, kajian yang dijalankan SPRM juga mendapati sebanyak 22.1 peratus responden penjawat awam mengakui sanggup menerima rasuah.

“Penjawat awam mengaku mereka sanggup terima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan. Saya sekali lagi tegaskan, ia sesuatu yang amat membimbangkan kita.

“Perkara ini perlu segera diperbetulkan. Ia menuntut komitmen semua pihak untuk bersama-sama dengan SPRM memerangi perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, negeri lain perlu mencontohi langkah EXCO kerajaan Selangor menandatangani IBR.

“Usaha kerajaan Selangor perlu menjadi ikutan EXCO di negeri lain. Saya harap semua negeri, agensi dan jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri menandatangani IBR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:54 PM