GAMBAR hiasan.
Shamsul Munir Safini


LELAKI Nepal diberkas polis kerana didakwa mencabul kehormatan rakan sekerja wanita di kilang biskut di Butterworth.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada 1 pagi, hari ini selepas polis menerima laporan yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek ditahan selepas disyaki mencabul mangsa berusia 22 tahun di tempat kerja mereka pada 12 Julai lalu.

Katanya, mangsa mendakwa ketika mereka sedang bekerja, suspek menghampirinya dan menyentuh dada kanan mangsa.

“Mangsa memarahi suspek dan memberitahu akan membuat laporan polis, namun suspek didakwa hanya senyum sambil beredar.

“Siasatan awal, kilang itu tidak mempunyai kamera litar tertudup (CCTV) dan tiada saksi lain yang melihat kejadian,” katanya dihubungi, hari ini.

Noorzainy berkata, dalam soal siasat, suspek tidak mengaku mencabul mangsa tetapi ada memberitahu menolak mangsa di bahagian payudara kerana mendakwa mangsa memarahinya ketika bekerja.

Katanya, suspek adalah penyelia pengeluaran di kilang itu dan sudah lama bekerja dengan mangsa di situ.

“Suspek direman empat hari sehingga 22 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 3:10 PM