Sahruddin menunjukkan naskhah al-Quran yang terselamat dalam kebakaran rumahnya, semalam. FOTO Togi Marzuki.
Togi Marzuki

“INI sahajalah pakaian yang kami ada,” kata Sahruddin Muhammad, 39, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Parit Pasir Lama, Pekan Nanas, Pontian terbakar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, rumah jenis separa kekal yang dihuninya bersama isteri, Mastura Gaharif, 29, dan tiga anak mereka berusia satu hingga tiga tahun musnah 70 peratus.

Sahruddin berkata, ketika kejadian itu dia sekeluarga tiada di rumah kerana menunaikan solat di Masjid Pekan Nanas yang berjarak satu kilometer dari rumah.

“Dalam tempoh 20 minit sebelum saya nak laungkan azan solat Isyak, rakan menelefon memaklumkan rumah terbakar.

“Saya bergegas pulang ke rumah dan terkejut melihat api sudah menjulang tinggi dengan asal tebal menyelubungi kawasan terbabit,” katanya ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu turut menyebabkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS yang terletak dua meter dari rumahnya musnah 50 peratus.

Katanya, sudah menjadi rutin hariannya dan keluarga untuk ke masjid pada maghrib dan akan pulang selepas isyak, apatah lagi tugas saya sebagai bilal.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat meskipun mereka kehilangan harta benda.

“Pakaian yang kami pakai ke masjid ini sahajalah yang tinggal dan beberapa naskah al-Quran turut terselamat walaupun ada kesan terbakar,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Johor Wan Assim Wan Shekh turut melawat TABIKA yang terjejas.

Katanya, premis itu disewa sejak dua tahun lalu dan kejadian menyebabkan semua peralatan sekolah hangus.

“Dua guru dan 19 murid belajar di sini dan tindakan susulan akan diambil, mungkin kita akan tempatkan murid di Dewan Serbaguna di Pekan Nanas yang jaraknya satu kilometer dari sini untuk mereka teruskan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mahadir Mamat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.13 malam dan dua jentera bersama 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas dan Pontian dikejarkan ke lokasi.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 3:47 PM